Showing posts with label jeda. Show all posts
Showing posts with label jeda. Show all posts

Monday, April 12, 2010

Lambung ombak


"Ku kayuh ke kanan, teroleng-oleng,
di biar diam, terambing-ambing.
Arusnya pusar, kocaknya tiada.
Gunung di dasar, puncaknya tiada."



"Laut mana, wahai nakhoda?"
"Bukan laut tetapi lubuk."



"Lubuk mana, begitu rupa?
  Dalam hingga terbenam puncak."
"Lubuk di dalam manusia, lubuk hati"



,

Wednesday, March 17, 2010

khilaf kifarah

Ku insan yang lemah
Penuh kelah dan kesah
Membentak mengadah
Lantas kau hadiahkan kifarah
Menarik ku yang telah
Hanyut dalam dunia indah

Ku kini mencuba
Medekatkan diri mendamba
Cinta yang tak kunjung tiba
Walau kejang tangan di dada
Menadah tangan ku berdoa
Rindu itu masih tiada

Khilaf dari insan
Ditenun jadi perhiasan
Doa jadi permainan
Bagai mengherdik Tuhan

Ku adalah makhluk
....



Saturday, March 13, 2010

Kias kata

Ku kias kata,
Menyelindungkan cinta
Walaupon belum kita
Pernah bertentang mata

Ku rasa iri,
Terasa sendiri
Bisumu ku tak erti
Gundahkan hati

Aku malu mengaku tak mampu
Rasa rendah diri yang mengungkit
Bicara lalu datang satu-persatu
Namun hati mudah kembali sakit

Tawarkah hatinya
Bencikah dia?
Kabur keindahan dunia
Bila hatiku tertanya-tanya

  

Monday, December 28, 2009

Lirikan lalu

Dulu...

Dulu kau, dulu aku
Sekarang I and you.

Dulu pantang bertegur sapa,
Pasti ada yang tak kena,
Pasti ada yang nak dikata;
Tapi sekarang pantang berdepa,
Terus ditanya tadi ke mana?
Manis pula kata-kata.

Dulu hujahnya tajam,
sindirannya sentiasa menikam;
Tapi sekarang lain ragam,
Rupanya manja dalam diam.

Yang dulu kini ditinggalkan,
yang sekarang didahulukan,
Larian masa takkan dapat diulang;
Pikir pula ke depan-depan,
apa guna ditenung mendung awan,
Tarian hujan takkan dapat dihalang.

Lalu...
Dulu benci dan luat,
kini benci semakin kuat.


p.s. haha..wanted to write bleumond/akmar, but got stuck.

Monday, November 23, 2009

Kias kelui

Pipit sama pipit,
Enggang dengan enggang,
Pipit, pipit serindit,
Enggang jalan seorang.

Enggang pergi ke dalam rimba,
dahaga di hati inginkan air;
Mencari perigi ketemu timba,
raga ternanti hingga ke akhir.

Pipit terbang lada bersulah,
Nasi disenduk sambil bernyanyi;
Andai tangan bertepuk sebelah,
Kucing bertanduk pun tak akan berbunyi.

Pipit tuli memakan jagung,
Mata terkebil, ditelan sangkut;
Walau berkali berulam jantung,
Hati dipanggil tetap menyahut.

Bukan mabuk di enggan lalu,
Tepi jendela pipit berbuat sarang;
Bukan tertunduk tersipu malu,
Tapi sedar pipit yang angannya panjang.

Tuesday, November 10, 2009

Aku bukan Usman Awang mahupon Shakespeare

Aku tak reti sastera,
tak pandai buat ayat bunga-bunga,
kalau cakap kat depan, mesti gagap-gagap,
kalau sembang intelek, mesti lambat tangkap.
Dulu karangan kat sekolah markahku slalu rendah,
perkataan pulak tak pernah cukup patah,
kalau tengok kat kertas tanda merah merata,
Cikgu kata bnyk salah, kurang kosa kata.

Aku lagi tak reti Bahasa Inggeris
ejaan pelik, berbelit-belit, berlapis-lapis,
paling susah bila terjumpa orang putih,
setakat 'yes' 'no' pastu tersengih-sengih.
Agaknya sebab tu mat saleh kata kita peramah,
bila ditanya, tegur, senyum panjang tak bermadah,
yang aku maksudkan begitu pengguna sepertiku,
yang kantoi Inggeris, dunno bahasa baku.

Jadi bila menulis, tulisan ku lemah,
bila bertutur, kataku tak petah,
kadang-kadang mesej aku tak sampai,
selalu orang panggil aku lampi, tak pandai.
Tapi bila salah janganlah gelakkan,
senyum sinis pon kalau boleh jangan,
Tegurlah kalau mahu, cuma jangan bagi aku malu.
Apa guna sombong ilmu, diusung ke hilir ke hulu

Aku bukan Shakespeare
Ceritanya di sanjung, diperhati, ditelaah di institusi.
Tapi siapa pasti pula, pendapat ku sampah tak berisi?

Dan aku bukan Usman Awang,
Beliau ramai orang kenal, digelar tongkat Waran,
Aku tiada yang kenal, aku hanya seorang insan.